Pulau Pinang, 28 Mac 2019 – Sungguhpun orang ramai boleh mendapatkan rawatan kanser pada harga yang mampu dibayar dengan pelbagai cara, namun sesebuah hospital tidak dapat menyampaikan khidmat ini sendiri, terutamanya bagi hospital kanser yang tidak mengambil keuntungan seperti Hospital Kanser Mount Miriam. Untuk mengatasinya, Mount Miriam berganding bahu dengan Roche Malaysia untuk melancarkan Program Mount Miriam - Roche Mengambil Berat bagi meringankan beban kewangan pesakit kanser payudara HER2 positif yang berpendapatan rendah.

Melalui program ini, Roche Malaysia akan membekalkan 180 bebuli terapi yang disasarkan manakala Hospital Kanser Mount Miriam pula akan memperuntukkan wang sebanyak RM1 juta daripada Tabung Pesakit Kanser Yang Miskin yang dikendalikannya untuk membantu pesakit kanser payudara HER2 positif.

Melalui usaha sama ini, pesakit kanser HER2 positif berhak mendapat terapi yang disasarkan itu pada harga bersubsidi. Mereka membayar RM2,100 sahaja bagi satu kitaran dan bukannya RM8,900. Pesakit dapat menjimatkan setinggi 75% daripada harga rawatan standard yang biasanya memerlukan sehingga 18 kitaran. 

Pesakit kanser payudara HER2 positif mempunyai gen HER2 yang abnormal. Jumlah berlebihan gen ini serta reseptor protein yang dihasilkannya menggalakkan pembiakan sel kanser yang pantas lalu menyebabkan kanser payudara HER2 positif bertindak lebih agresif daripada jenis-jenis kanser payudara yang lain1. Keadaan ini dihadapi oleh 1 dalam setiap 5 pesakit kanser payudara seluruh dunia2

Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow memuji Hospital Kanser Mount Miriam dan Roche Malaysia atas jalinan tenaga ini. Beliau mengatakan bahawa kerajaan negeri mengalu-alukan program-program seumpama ini yang bermanfaat bagi pesakit kanser payudara, terutamanya yang tinggal di Pulau Pinang. “Program ini menepati sepenuhnya model 4P Kerajaan Pulau Pinang, iaitu perkongsian antara sektor awam, sektor swasta, ahli profesional dan orang ramai untuk melaksanakan projek menggunakan sedikit wang rakyat sahaja,” kata beliau. Tuan Chow berkata bahawa laporan oleh Daftar Kanser Negara Malaysia menunjukkan bahawa Pulau Pinang mencatatkan kadar kejadian kes baharu kanser yang ketiga tertinggi setiap tahun di Malaysia, iaitu 11 daripada setiap 100 orang yang diuji didapati menghidap kanser, dan antaranya, kanser payudara mencatatkan bilangan tertinggi3. “Saya ucapkan syabas kepada anda dalam sektor swasta yang tampil untuk menolong pesakit yang berpendapatan rendah sambil meringankan beban pesakit hospital awam. Saya harap usaha sama antara Mount Miriam dengan Roche Malaysia ini akan menjadi inisiatif tanggungjawab korporat yang layak diteladani oleh syarikat farmaseutikal dan organisasi penjagaan kesihatan yang lain,” kata beliau lagi.

“Setelah berkhidmat kepada masyarakat di sini selama 43 tahun sebagai hospital yang tidak mengaut keuntungan, Mount Miriam tidak hanya bergantung pada sumbangan derma orang ramai untuk mengisi Tabung Pesakit Kanser Yang Miskin kami, tetapi rakan-rakan kongsi kami juga nyata berperanan penting membantu kami menyediakan rawatan kanser untuk semua pesakit tanpa mengira kedudukan kewangan mereka. Hanya melalui kerjasama dengan berbilang pihak beginilah kami dapat mengambil usaha tambahan. Roche ialah rakan kongsi yang mulia, boleh dipercayai dan bertanggungjawab kepada masyarakat. Kami amat berbesar hati kerana dikaitkan dengan mereka,” kata Puan Joan Lim-Choong selaku Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Kanser Mount Miriam.

“Penciptaan ubat baharu berkembang pada kadar yang berbeza dengan sistem yang menilai, membiayai dan menyampaikan rawatan kepada pesakit. Di Roche, pesakit dijadikan tumpuan kami dan dengan matlamat ini, kami terus berusaha dan melabur untuk meningkatkan keupayaan dan kebolehan bersama berbilang pihak yang berkepentingan dalam sektor penjagaan kesihatan agar khidmat penjagaan kesihatan dapat disampaikan kepada pesakit dengan lebih baik. Kami juga memahami keperluan pesakit tempatan dari segi penjagaan kesihatan, dan berharap lebih banyak usaha sama dapat dijalinkan antara sektor awam dengan swasta untuk menyampaikan penyelesaian yang inovatif, sambil memudahkan lagi pesakit mendapat ubat-ubatan kami”, kata Encik Vinod Narayanan selaku Pengarah Unit Perniagaan Roche Malaysia, yang telah sudi hadir menyerikan acara pelancaran ini. 

“Hari ini, kami dengan rendah hatinya bersatu jiwa dengan Hospital Kanser Mount Miriam untuk memperkenalkan tabung kebajikan ini kepada warga Pulau Pinang dengan tujuan meringankan beban kewangan pesakit kanser payudara. Langkah ini menyusuli perkongsian dengan Hospital Beacon tahun lepas untuk melancarkan Roche Mengambil Berat, iaitu sebuah model pembayaran bersama yang melibatkan Roche, pesakit dan pembiaya (contohnya organisasi penjagaan kesihatan dan pertubuhan bukan kerajaan, badan amal dan sebagainya) supaya pesakit boleh menerima rawatan yang inovatif. Sehubungan dengan itu, kami ingin mengucapkan syabas kepada Mount Miriam kerana mengambil langkah ini dan berganding tenaga dengan kami,” kata Encik Vinod lagi. 

Program 12 bulan ini dibuka kepada 20 pesakit kanser payudara HER2 positif baharu atas dasar siapa cepat dia dapat. Penyertaan dalam program ini boleh dimohon mulai 1 Mac 2019 hingga 29 Februari 2020. Anda yang berminat boleh memohon di Jabatan Kebajikan Masyarakat Perubatan Hospital Kanser Mount Miriam. Kelayakan akan dinilai menurut dasar Tabung Pesakit Kanser Yang Miskin. Untuk mendapatkan maklumat selanjutnya, hubungi Cik Bee Wah di Hospital Kanser Mount Miriam melalui talian


Untuk mengemukakan pertanyaan media, sila hubungi:

Priscillia Yuen

 

Rujukan:

  1. MD, S. H. (2018, March 15). Management of Early-Stage HER2-Positive Breast Cancer.  Retrieved from 

  2. J. F. (2019, January 21). What's to know about HER2-positive breast cancer? Retrieved from 

  3. Health D. The Malaysian National Cancer Registry Report (MNCR) 2007-2011 [Internet]. From the Desk of the Director-General of Health Malaysia. 2018 [cited 1 March 2018]. Available from: 

This website contains information on products which is targeted to a wide range of audiences and could contain product details or information otherwise not accessible or valid in your country. Please be aware that we do not take any responsibility for accessing such information which may not comply with any legal process, regulation, registration or usage in the country of your origin.